KAJANG – Pemeriksaan bagi menjejaki bau busuk di sebuah premis kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih, di sini hari ini membawa kepada penemuan mayat seorang wanita yang dipercayai telah mati dibunuh.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat tersebut pada pukul 7.33 pagi daripada orang awam yang mendakwa terhidu bau busuk dari dalam premis tersebut.
“Pemeriksaan di lokasi telah menemui mayat seorang wanita warga Indonesia berusia awal 50-an dalam keadaan tidak berpakaian dengan diselimuti kain.
“Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada hari Sabtu lalu ketika dia berniaga di kedai makan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zaid, pihaknya masih menyiasat motif serta punca kejadian dan mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diharap tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Mohd. Faizal di talian 011-33319871.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” tegas beliau.- K! ONLINE