KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memfailkan penghakiman terus berhubung saman terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.
Perkara itu dimaklumkan peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee selaku defendan ketika dihubungi media di sini hari ini.
Menurut peguam itu, LHDN selaku plaintif memfailkan penghakiman terus itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
“Pengurusan kes seterusnya pada 13 Oktober ini,” kata peguam itu.
Hari ini ditetapkan pengurusan kes itu secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Syeela Marlina Uttaman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Sementara itu Peguam Hasil Mohamad Ezmeer Zulkarnaen Asnizar ketika dihubungi mengesahkan pihak LHDN telah membuat permohonan penghakiman terus terhadap kes saman itu.
“Selain penghakiman terus, pihak kami juga turut membuat permohonan untuk membatalkan tuntutan balas pihak defendan,” katanya.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan dan afidavit tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Berdasarkan sistem mahkamah (e-filing) antara alasan permohonan penghakiman terus itu ialah LHDN berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan dan kenaikan-kenaikan tertunggak yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar.
Dalam pada itu, Subseksyen 106(1) ACP 1967 pula dengan jelas memperuntukkan bahawa
baki cukai pendapatan serta kenaikan-kenaikan yang tertunggak boleh didapatkan kembali sebagai suatu cukai yang genap masanya dan perlu dibayar oleh defendan.
Justeru suatu perakuan di bawah Subseksyen 142(1) ACP 1967 yang ditandatangani oleh Ketua Penolong Pengarah yang menyatakan nama dan alamat defendan amaun tunggakan cukai yang genap masanya untuk dibayar oleh defendan adalah menjadi keterangan yang mencukupi kepada mahkamah untuk memberi penghakiman bagi amaun cukai yang dinyatakan di dalam perakuan tersebut.
Menurut plaintif dalam notis permohonan itu defendan tiada pembelaan dan tiada isu untuk dibicarakan di dalam tindakan ini.
Pada 6 Mei lalu, kerajaan Malaysia LHDN memfailkan saman terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.
Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee, 69, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun.
Berdasarkan penyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2016, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM621,291.85, RM978,854.11, RM3,581,500, RM1,735,124.03 dan RM1,826,557,87 melalui Notis-notis taksiran (tambahan) bertarikh 27 Mei 2019.
Dakwa plaintif, sehingga kini defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan perlu dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atasnya, kesemuanya berjumlah RM9,414,708.32.K!ONLINE