JOHOR BAHRU – Adik kepada mangsa, Muhammad Irfan Ismadi, 19, tidak menyangka perubahan pada abangnya yang semakin menjaga hubungan dengan Allah SWT sebagai petanda akan meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.
Muhammad Mustaqim, 23, meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan apabila lori penghantar bungkusan dipandunya terbabas dan terbakar dalam kejadian di Jalan Kolam Ayer, di sini pagi hari ini.
Muhammad Irfan berkata, abang sulungnya itu menjaga solat lima waktu, menonton video ceramah agama selain kerap berkongsi petikan ayat al-Quran di profil aplikasi WhatsApp miliknya sejak sebulan lalu.
“Abang juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai anak apabila selalu memberikan duit belanja buat orang tua saya selain membelikan barangan keperluan dapur. Jika dia ada duit lebih, dia akan bagi lebih.
“Bagi saya, dia adalah abang yang paling baik. Jadi, mendengar perkhabaran dia terlibat kemalangan itu buatkan saya cukup terkilan. Lebih remuk hati saya apabila tengok dia mati dalam keadaan begitu (terbakar),” katanya kepada pemberita hari ini.
Muhammad Irfan yang merupakan anak bongsu itu berkata, dia yang memberitahu abangnya tentang kerja kosong di syarikat logistik itu setelah tahu arwah berminat dengan bidang kerja tersebut.
Katanya, dia turut bekerja di syarikat sama sebagai penjaga stor di cawangan Uda Utama manakala abangnya bekerja di cawangan Seri Bahagia, Larkin sejak bulan Mei lalu.
“Saya dapat tahu tentang kemalangan itu setelah dihubungi penyelia saya. Saya bergegas ke lokasi kejadian namun sudah selesai,” katanya. – K! ONLINE