SHAH ALAM – Tindakan kelulusan lanjutan kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN) kepada Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd (UKSB) dilakukan tanpa tatacara dan ketelusan, kata saksi keempat dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini.
Datuk Suriani Ahmad berkata, ini berikutan kelulusan dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam mengikut beberapa surat permohonan sehingga menyukarkan proses dan kajian penilaian prestasi dilakukan secara efisyen.
Beliau yang merupakan Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari tahun 2015 hingga 2017 memberitahu, penilaian prestasi itu signifikan kerana melibatkan pelawat dari luar negara serta membawa imej negara dan UKSB perlu membuktikan prosedur mengikut tatacara perjanjian.
Dalam prosiding itu juga, Suriani turut mengakui tidak berani melanggar arahan kerana hanya seorang penjawat awam manakala Ahmad Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri ketika pertanyaan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Wan Shaharuddin : Adakah boleh penilaian prestasi dilakukan kurang 24 jam
Suriani : Tidak, dalam masa singkat penilaian tidak boleh dilakukan.
Wan Shaharuddin : Ada atau tidak, Ahmad Zahid memberikan masa dan memberikan kelulusan lanjutan kontrak itu
Suriani : Tidak
Wan Shaharuddin : Adakah Datuk (panggilan Suriani) berani melanggar arahan
Suriani : Sebagai penjawat awam dan dia (Ahmad Zahid) Timbalan Perdana Menteri, saya akur dengan perkara tersebut
Dalam pada itu, Suriani yang kini menjawat Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan mengambil maklum dan setuju pelanjutan kontrak VLN dibawa untuk pertimbangan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri berbanding tidak perlu dirujuk mengikut surat diminitkan Ahmad Zahid.
“Keputusan yang dibuat Ahmad Zahid adalah tidak wajar berdasarkan maklumat, pandangan dan syor yang telah dikemukakan dalam minit ceraian yang tidak digunakan ketika membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas Peguam Hamidi Mohd. Nor mendapati Suriani bersetuju bahawa Ahmad Zahid yang dilantik pada 16 Mei 2013 hanya penyambung idea yang dicetuskan individu yang menjawat jawatan sebagai menteri sebelum itu.
Tambah Suriani, VLN juga bertindak menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang ketika itu perlu penambahbaikkan kerana MyIMMs tidak segerak atau dalam terma digunakan adalah maklumat bertenggek.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, saksi ketiga iaitu bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, KDN, Siti Jalilah Abd Manap berkata, penelitian bagi sebarang lanjutan kontrak awal perlu kerana dikhuatiri akan mewarisi kontrak dalam masalah sedia ada kerana melibatkan projek yang besar.
Perbicaraan kes disambung pada 22 Oktober depan.
Ahmad Zahid sebelum ini didakwa atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.
Dia juga didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929