PETALING JAYA – Penyanyi yang popularitinya sedang mencanak naik selepas melahirkan beberapa lagu hit seperti Perasaanku dan Penantian, Fieya Julia mendedahkan ilham kebanyakan lagunya datang dari dalam mimpi.
Muncul dengan single terbaharu berjudul Halusinasi hasil ciptaan sepenuhnya diri sendiri, Fieya atau nama lengkapnya, Nur Syafiyah Sejali berkata, perkara tersebut mungkin pelik buat segelintir orang namun itulah yang berlaku kepada dirinya.
Menurut Fieya, lagu Halusinasi yang diterbitkan pada Ogos 2020 ditulis berdasarkan kisah benar tentang perasaannya. Liriknya pula disiapkan dalam tempoh sehari. Dalam masa seminggu, lirik dan melodi berjaya disiapkan sepenuhnya.
“Semasa cipta lagu Halusinasi, saya tengah alami siuasi sama, sedang layan sendu. Inspirasi dapat melodi lagu dari mimpi. Agak pelik tapi memang saya dapat melodi lagu ini dari mimpi.
“Bangun dari tidur dan terus rekod melodi yang dapat dari mimpi dan ubah-ubah sikit dan jadilah melodi Halusinasi,” katanya.
Mengulas lanjut tentang single terbaharunya itu, Fieya tidak menafikan karya berkenaan sedikit sebanyak bercerita tentang pengalaman hidup sendiri.
“Sebenarnya, lagu ini saya ceritakan tentang diri sendiri juga. Waktu muda, kita sering salah anggap cara orang layan kita. Dalam hati mesti tertanya, ‘dia layan lebih, suka kat aku ke atau sebaliknya?’
“Lagu ini sebenarnya kisah kita terjatuh cinta dengan kawan sendiri, pada hal kita tahu dia adalah kawan kita sendiri. Dan kita pula terletak harapan lebih kepada kawan tersebut.
“Halusinasi mengisahkan tentang saya berkawan dengan seorang lelaki ini yang selalu ada untuk saya tapi dia selalu juga menghilang. Dia akan ada masa saya sedih dan hilang masa saya dah gembira. Lelaki itu hanya akan berada di sisi tatkala saya memerlukan dia.
“Sebenarnya lelaki itu nak berada di sisi saya sebagai kawan, tapi saya tersalah anggap dan ingatkan dia layan saya sebab suka dan beri perhatian pada diri. Sebenarnya tak. Dia ‘caring’ sebab dia hargai sebagai kawan dan mahu jadi seperti kawan yang bermakna untuk saya,” cerita Fieya tentang isi hatinya sebelum terciptanya lagu Halusinasi.
Dalam pada itu, Fieya berasa terkejut apabila syarikat rakaman Aries Music mengambil keputusan menjadikan lagu ciptaannya sebagai single baharunya.
Lagu Halusinasi, ciptaan sepenuhnya oleh Fieya, dimuat naik dalam saluran YouTube Aries Music sejak 27 Ogos lalu dan hingga kini telah mencecah tontonan sehingga 118,738.
Penyanyi berusia 22 tahun itu mengakui, keputusan yang dibuat syarikat rakaman agak luar dugaan memandangkan beberapa karya yang pernah dihantar kepada label berkenaan tidak pernah terpilih.
“Sebenarnya saya tak sangka lagu Halusinasi menjadi pilihan syarikat sebab sebelum ini pernah bagi lagu yang ditulis sendiri tetapi semuanya kena ‘reject’ dan tak terpilih. Mungkin material tak cukup bagus.
“Saya tak sangka lagu Halusinasi ini menjadi pilihan untuk syarikat. Rasa teruja dan takut juga sebab sebelum ini saya nyanyi lagu ciptaan komposer profesional,” katanya lagi.
Sebelum ini, nama Fieya melonjak naik menerusi lagu Perasaanku, ciptaan Amir Hariz yang diterbitkan pada 2018 dan mendapat 45 juta tontonan di YouTube, malah lagu tersebut juga diangkat sebagai lagu tema drama Semua Salahku. – K! ONLINE