PETALING JAYA – “Untuk kaki ‘hiking’, musim-musim hujan sekarang ini tak payahlah mendaki bukit atau gunung. Bahaya. Tengok kaki saya dah patah sekarang.”
Itu nasihat penyanyi Azlan Typewriter apabila kaki kirinya patah selepas tergelincir ketika melakukan aktiviti mendaki di Sungai Batangsi, Semenyih, Selangor, semalam.
Azlan atau nama lengkapnya Nor Azlan Rosle Sallehudin, 39, sewaktu dihubungi Kosmo! Online memberitahu, kejadian berlaku ketika dia bersama empat lagi rakannya hendak menuju ke sebatang sungai melalui cerun yang agak tinggi.
“Sebelum kejadian, saya bersama empat lagi rakan mendaki bukit di kawasan Sungai Batangsi sekitar pukul 9 pagi. Ketika dalam perjalanan turun, kami terlihat sebuah kawasan sungai yang sangat cantik.
“Ketika itu sudah masuk hampir waktu tengah hari. Ketika hendak ke sungai itu, tiba-tiba saya tergelincir akibat terpijak kawasan tanah licin sehingga menyebabkan saya terjatuh ke bawah cerun,” katanya.
Ujar penyanyi itu lagi, ketika jatuh, kakinya terhentak seketul batu yang agak besar sehingga mengeluarkan bunyi yang kuat.
“Saya dengar bunyi tulang kaki saya patah. Dalam hati saya sudah menjangkakan perkara itu (kaki patah), lebih-lebih lagi apabila melihat keadaan kaki yang sudah terkulai.
“Dalam keadaan kaki yang patah, saya yang dibantu rakan-rakan sedaya upaya untuk naik semula ke atas. Mujur ketika itu salah seorang rakan membawa kereta dan kami bergegas ke Hopital Kajang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurut Azlan, doktor yang merawatnya memberitahu, bahagian buku lali dan tulang di belakang kaki kirinya patah dan perlu menjalani pembedahan.
“Doktor nasihatkan saya supaya mendapatkan rehat di rumah. Soal kerja, ada beberapa perkara yang telah dipersetujui lebih awal dan saya tidak boleh batalkannya. Tidak sedap pulak.
“Pada saya selagi saya mampu, saya akan kerja. Tapi rehat tetap rehat. Insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja,” ujar Azlan.
Dalam pada itu, pelantun lagu Lagu Untukmu itu bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius selain bernasib baik kerana mempunyai kawan-kawan ketika kejadian malang tersebut berlaku. – K! ONLINE