LONDON – Arsenal mempamerkan prestasi sempurna untuk melenyapkan segala kritikan yang dilemparkan terhadap mereka susulan prestasi buruk pada tiga aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Ia terbukti selepas The Gunners berjaya mendominasi musuh setempat, Tottenham Hotspur dengan kemenangan 3-1 di Emirates kelmarin sekali gus kembali berada pada landasan tepat selepas enam perlawanan setakat ini.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta yakin formula yang sedang diciptanya sudah mula menunjukkan hasil dan berharap anak-anak buahnya terus konsisten mempamerkan prestasi sama selepas ini.
“Ini adalah hari yang cukup istimewa buat Arsenal. Ia membuktikan apa yang kami usahakan sejak kebelakangan ini tetapi kami perlu konsisten, barulah keputusan positif berjaya diraih.
“Saya anggap kejayaan ini disebabkan kami mempunyai sokongan padu daripada para penonton di stadium. Kemenangan ini buat penyokong, mereka berhak meraikannya,” kata Arteta.
Tiga minggu lalu, Spurs mendahului carta EPL, manakala Arsenal pula merekodkan permulaan terburuk dalam tempoh 67 tahun apabila menduduki tangga tercorot.
Namun, tiga gol daripada Emile Smith Rowe, Pierre-Emerick Aubameyang dan Bukayo Saka kelmarin memastikan The Gunners naik ke tangga ke-10, memintas Spurs yang jatuh ke tempat ke-11 menerusi perbezaan jaringan.
Bagaimanapun, Arsenal terpaksa membayar harga mahal terhadap kemenangan itu apabila pemain tengah berpengaruh, Granit Xhaka mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa dikeluarkan ketika menentang Spurs kelmarin. – AGENSI