PETALING JAYA – Pelakon Izreen Azminda memilih nama Ali Idrees untuk anak ketiganya yang dilahirkan seminggu lalu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Pengumuman tersebut dibuat Izreen atau nama lengkapnya Izreen Azminda Aznam, 36, menerusi Instagramnya sebentar tadi.
“Hai, semua nama saya Ali Idrees Muhammad Radzi. Panggil Baby Ali sahaja okey,” tulis Izreen ringkas.
Ali dilahirkan secara pembedahan caesarean sama seperti dua anaknya sebelum ini dengan berat 2.87 kilogram.
“Selama ini yang berat itu mama, Ali kecil sahaja,” kata Izreen ringkas.
Sungguhpun begitu, pelakon yang popular dengan drama Tanggang Ayu itu masih belum bersedia untuk berkongsi wajah anak ketiganya kepada umum kerana bimbang dengan penyakit ain.
Menurut Izreen, berkemungkinan besar dia akan berkongsi wajah ahli keluarga terbaharunya itu selepas habis tempoh berpantang.
Bayi yang baru dilahirkan itu merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup bersama pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau dikenali sebagai Ude yang dikahwininya pada 8 Ogos 2017.
Hasil perkongsian hidup bersama Ude, Izreen dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim yang kini berusia dua tahun.
Pelakon kelahiran Perlis itu turut memiliki seorang anak lelaki sulung, Muhammad Adrian Umar, 8, menerusi perkahwinan pertamanya dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza Baharudin. – K! ONLINE