KANGAR – Kerajaan negeri memberi imbuhan sebanyak RM150,000 kepada jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, 4 September lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, imbuhan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas kejayaan Abdul Latif yang menjadi kebanggaan negara.
“Semoga ini akan menjadi galakan dan inspirasi kepada beliau untuk memperoleh kejayaan yang lain pada masa akan datang.
“Difahamkan pada 2022, beliau akan mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan imbuhan tersebut di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Latif bersyukur dengan imbuhan yang diberikan dan beliau akan kembali semula ke Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada November ini bagi mempersiapkan diri untuk tiga kejohanan antarabangsa pada tahun depan. – K! ONLINE