fbpx

Tersalah laluan turun punca sesat Gunung Pulai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki yang tersesat di Gunung Pulai, Kulai ditemui selamat di kawasan kaki gunung terbabit malam semalam.

KULAI – Tersalah laluan ketika mahu turun menjadi punca dua bersaudara tersesat ketika mendaki Gunung Pulai, di sini malam semalam.

Muhammad Syazwan Kamarulzzaman, 25, berkata, dia dan sepupunya, Muhammad Fadzrel Haziq Mohd. Farid, 16, memulakan pendakian kira-kira pukul 8 pagi sebelum sampai ke puncak gunung.

“Ketika kami hendak turun kira-kira pukul 11 pagi, kami tersalah laluan dari trek pendakian asal menyebabkan kami tersesat di kawasan sekitar hampir tiga jam.

“Ketika matahari hampir terbenam, saya terus terfikir untuk mendapatkan bantuan. Saya menelefon kakak saya bagi memaklumkan keadaan semasa kami selain tidak putus asa mencari akses internet untuk menghantar lokasi semasa.

“Walaupun talian putus-putus, saya menghantar lokasi semasa kami berkali-kali kepada ‘team hiking’ bagi memudahkan mereka mencari kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Wan Mohd Azrul Wan Mahamad Shaf’ii berkata, kedua-dua mangsa ditemui di Kawasan Jeram Kulai, kaki Gunung Pulai pada pukul 10.45 malam.

Katanya, kedua-dua mangsa ditemui pada jarak kira-kira lapan kilometer dari kaki gunung ke lokasi dijumpai dalam keadaan tidak cedera.

“Sebanyak lapan anggota bersama sebuah jentera, sebuah Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan utiliti Hilux digerakkan ke lokasi kejadian.

“Selepas kedua-dua mangsa dijumpai dan dihantar ke hospital menggunakan EMRS dan operasi ditamatkan pukul 1.15 pagi tadi,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI