MODEL ternama antarabangsa Gigi Hadid terpaksa menolak keinginan peminat atau mana-mana pihak untuk bergambar dengannya secara dekat kerana bimbang dijangkiti Covid-19.
Ujar model berketurunan Palestin itu lagi, dia perlu menjaga diri kerana jika dijangkiti Covid-19, perkara tersebut akan melibatkan ramai pihak, sekali gus menjejaskan jadual kerjanya yang telah dirancang.
“Kepada peminat, saya minta maaf kerana perlu menjaga penjarakan fizikal susulan protokol yang ditetapkan,” ujarnya.
Hadid yang kini berada di Itali atas urusan kerja bagaimanapun masih memberi peluang kepada peminat untuk bergambar, namun dengan syarat ketat.
“Untuk bergambar dengan saya, sila beri sedikit ruang dan saya tidak akan mengecewakan anda. Terima kasih kerana memahami,” katanya.
Hadid begitu disayangi peminatnya kerana sikap ramah dan baik hatinya sehingga mengakui berasa amat bersalah jika terpaksa menolak permintaan peminat yang mahu bergambar dengannya.