fbpx

Solskjaer pertahan kegagalan Fernandes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FERNANDES gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika United berpeluang menyamakan kedudukan sekali gus menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Villa kelmarin. – AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solsk­jaer mempertahankan keputusan memilih Bruno Fernandes berbanding Cristiano Ronaldo untuk mengambil sepakan penalti ketika mereka tewas 0-1 kepada Aston Villa di Old Trafford kelmarin.

United dianugerahkan sepakan penalti selepas bola tandukan Edinson Cavani terkena tangan pemain pertahanan Villa, Kortney Hause pada masa kecederaan, namun sepakan Fernandes jauh melepasi palang gol.

Ketika diberikan sepakan berkenaan, Ronaldo kelihatan bersedia untuk menjalankan tugas itu tetapi Fernandes mahu mengambil tanggungjawab ber­kenaan, namun tidak berjaya menyempurnakannya sekali gus menjadi kegagalan kedua dalam 23 percubaannya sebelum ini.

“Itulah bola sepak. Dia (Fernandes) sentiasa memberikan aksi terbaik untuk pasukan tetapi adakalanya ia tidak menjadi seperti apa yang dikehendaki. Antara berjaya dan gagal itu hanya dipisahkan dengan satu garisan yang halus,” katanya.

Dalam pada itu, Solskjaer menafikan bahawa Ronaldo tidak gembira dengan keputusan Fernandes untuk mengambil sepakan berkenaan.

“Ia akan menjadi tajuk berita saya fikir. Bruno mempunyai rekod yang cemerlang, begitu juga Ronaldo yang juga merupakan penendang sepakan penalti yang berjaya di dunia.

“Anda boleh membuat pelbagai andaian terhadap reaksi yang ditunjukkan oleh pemain. Bruno memiliki kemampuan menjalankan tugas itu dan anda perlu percaya mengenai perkara itu,” katanya.

Sementara itu, United juga berdepan kemungkinan kehila­ngan dua pemain pertahanan mereka, Harry Maguire dan Luke Shaw yang mengalami kecede­raan pada perlawanan itu ketika mereka bakal terbang ke Villareal untuk aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI