fbpx

Sindiket seludup dadah ke Indonesia tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan daerah Hilir Perak dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

IPOH- Kegiatan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran tumpas selepas polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas 29 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM1 juta semalam.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 56 tahun itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Hilir Perak pada pukul 12.55 tengah malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek ditahan di tepi jalan di kawasan Bagan Lipas Laut, Rungkup bersama dua beg guni berisi dadah jenis syabu seberat 29kg.

Katanya, semasa ditahan, suspek dipercayai dalam proses membawa dadah tersebut ke jeti sebelum diseludup ke Indonesia melalui jalan laut.

“Suspek menggunakan jeti haram untuk menyeludup dadah ke tengah laut menggunakan bot atau sampan di mana akan ada invididu lain yang menunggu untuk mengambil dadah berkenaan.

“Suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki warga tempatan yang sedang dikesan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, dadah yang dirampas dengan nilai keseluruhan RM1,740,000 itu boleh dibekalkan untuk kegunaan kira-kira 300,000 penagih.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu mendapati negatif dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek direman tujuh hari mulai semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu dalam tangkapan berasingan kelmarin, beliau berkata, tujuh individu termasuk sepasang suami isteri ditahan bersama 4.6kg dadah dengan nilai keseluruhan RM150,640.

Katanya, tangkapan pertama pada pukul 3.35 petang di sebuah rumah di kawasan Changkat Jong, Teluk Intan membabitkan suami isteri berusia 37 dan 28 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah pasangan terbabit menjumpai dadah jenis heroin seberat 4,189.36 gram dan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 409.85 gram (g) dengan nilai keseluruhan RM150,000.

“Susulan tangkapan terhadap pasangan itu, pihak polis kemudian membuat tiga serbuan lain di sekitar Teluk Intan dan menahan lima lelaki berusia lingkungan 18 hingga 32 tahun.

“Tangkapan terhadap lima suspek itu membawa kepada rampasan 5.61g syabu dan 1.57g ganja dengan nilai rampasan RM640,” katanya.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing ke atas kesemua tujuh suspek itu mendapati hanya suspek wanita negatif daripada pengambilan dadah dan pasangan suami isteri itu direman enam hari bermula semalam manakala lima suspek lain direman empat hari.

Siasatan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI