fbpx

RMK-12 tambah baik sistem pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan menyedari pembangunan bakat menjadi elemen penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, oleh itu, sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri. 

Beliau berkata, tumpuan akan diberikan untuk menambah baik seluruh sistem pendidikan negara sekali gus menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

“Langkah utama yang akan dilaksanakan antaranya memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk revolusi industri keempat.

“Persekitaran sekolah akan menjadi lebih kondusif melalui peruntukan dana berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2021 dan 2022 untuk mengganti 148 bangunan daif.

“Di samping itu, sebanyak empat kompleks sekolah dan lima buah sekolah baharu akan dibina melibatkan kos RM848 juta ringgit,” katanya semasa membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET.

Menurutnya, sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel akan diwujudkan serta kerjasama dengan industri akan dipertingkatkan bagi menambah baik kualiti graduan bagi memenuhi keperluan industri.

Katanya, kerajaan juga akan menaik taraf  kemudahan beberapa universiti awam antaranya Universiti Teknologi MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.

Dalam pada itu,  lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa. 

Beliau turut memberi jaminan bahawa agenda Bumiputera akan terus diperkasa seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan kepada orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak tanpa mengenepikan kepentingan sah kaum lain. 

“Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz akan diperkukuhkan.

“Langkah itu dilakukan melalui inisiatif latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya golongan sasar menjadi pakar dalam pelbagai bidang selain menguasai kemahiran untuk kerjaya masa hadapan seperti penganalisis serta pakar data raya,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI