PETALING JAYA- Ramai kanak-kanak di negara ini dilaporkan tidak didedahkan dengan peraturan ‘screen time’ atau boleh diterjemahkan sebagai waktu melihat paparan skrin sewaktu mereka berada di rumah.
Mendedahkan perkara itu, seorang pengamal perubatan dikenali sebagai Dr. Redza Zainol berkata, ramai kanak-kanak langsung tidak mempunyai peraturan melihat paparan skrin khususnya ketika berada di rumah.
“Berdasarkan satu kajian, 70 peratus individu berusia antara 8 hingga 18 tahun tidak pernah diperkenalkan dengan peraturan menonton televisyen ketika berada di rumah.
“Malah hampir 75 peratus kanak-kanak berkata televisyen di rumah mereka turut dibuka ketika waktu malam,” ciapnya di Twitter hari ini.
Katanya lagi, separuh daripada kanak-kanak turut mengakui televisyen di rumah mereka dibuka sepanjang hari.
“Menonton televisyen sepanjang masa adalah aktiviti yang tidak bagus kerana ia aktiviti pasif kerana kanak-kanak tidak perlu memberi apa-apa reaksi susulan ia hanya komunikasi sehala.
“Berinteraksi pula ialah aktiviti aktif kerana kanak-kanak mendengar, melihat atau mmeberi komen susulan ia melibatkan komunikasi dua hala,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr. Redza turut menasihatkan golongan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak bermain aktiviti rangsangan fizikal dan interaksi dua hala seperti teka silang kata.
Katanya, perkara itu bagi mengelakan anak-anak lambat bercakap serta ada masalah tingkah laku dan pembelajaran. -K! ONLINE.