KOTA BHARU – Polis menerima satu laporan berhubung kesalahan trafik melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dipercayai milik orang kenamaan (VIP) yang memotong kenderaan di garisan berkembar sehingga tular di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku di Jalan Bukit Marak-Binjai berdekatan jambatan sebelum lampu isyarat Chabang 3, Gong Dermin baru-baru ini.
Menurutnya, menerusi rakaman video berdurasi 38 saat itu, MPV tersebut memotong kenderaan di hadapannya di garisan berkembar secara berbahaya.
“Ketika kejadian, terdapat kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.
“Saya mengesahkan Polis Kelantan menerima satu laporan berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shuhaimi, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video memaparkan sebuah Toyota Alphard berwarna hitam memotong kenderaan lain di garisan berkembar.
Tindakan pemandu MPV itu dilihat hanya mementingkan diri sendiri apabila cara pemanduannya membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. -K! ONLINE.