USIA kariernya sebagai seorang pelakon, baru setahun jagung, secara tepatnya selepas menjuarai program realiti, Hero Remaja 2020. Bagaimanapun, pemilik nama lengkap, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu semakin membuktikan kepada khalayak, mengapa bakat seninya harus diberikan perhatian serius.
Selepas menjayakan karakter Hilmi dalam Projek: Anchor SPM dengan cemerlang, Nadhir sekali lagi melangkah sukses apabila memainkan peranan mencabar dalam projek drama berkualiti, i-Tanggang: Mother of All Lies menerusi karakter remaja bernama Syafiq.
“Dalam drama ini, saya memegang peranan sebagai Syafiq. Ini adalah projek kedua saya bersama Astro Originals selepas Projek: Anchor SPM. Apabila ditawarkan, saya akui jalan ceritanya lain daripada lain dan menarik.
“Namun, pada masa sama, terdetik rasa ragu-ragu sama ada saya akan mampu menjayakan watak yang diberikan atau tidak, memandangkan saya masih baharu dan watak itu juga agak berat.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Pengarah banyak membantu dan proses pembikinan drama ini selama dua bulan adalah satu tempoh yang menyeronokkan,” katanya kepada HibGlam menerusi satu panggilan video secara virtual baru-baru ini.
Pengaruh Taman Medan
Berkongsi mengenai watak Syafiq, Nadhir mengakui, menjadikan rakan-rakan dan persekitarannya sebagai rujukan utama.
“Syafiq adalah anak sulung dalam keluarga yang hidup dalam kesempitan. Dalam usia 16 tahun, dia terpaksa berhenti sekolah dan bekerja untuk membantu menampung keluarganya.
“Watak Syafiq ini saya gambarkan sebagai remaja yang susah, tetapi masih memiliki harapan dalam dirinya untuk mengubah nasib keluarga.
“Saya membesar di kawasan Taman Medan dan Taman Dato’ Harun di Petaling Jaya.
“Di situ memang banyak keluarga yang berdepan situasi sebegini. Ada sahabat saya sendiri juga pernah melalui situasi sama seperti watak Syafiq,” katanya.
Selain Nadhir, siri I-Tanggang turut dibintangi Sherie Merlis, Faizal Hussein, Danish Hazriq, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Datin Sofea JOKO-ane, Zarina Zainuddin, Andy Teh, Rashidi Ishak, Rashid Salleh dan ramai lagi.
Juara bukan tiket mudah
Biarpun daripada kaca mata kebanyakan, Nadhir dilihat mendarat cukup sempurna apabila bergelar juara Hero Remaja, namun secara peribadi, dia tidak menjadikan perihal tersebut sebagai tiket mudah untuk menyerlah.
“Saya tak bagus, tapi bagaimana saya meletakkan dan melihat sesuatu proses itu yang penting, proses bagaimana dan di mana saya meletakkan perjalanan karier seni saya sejak bermula hingga sekarang.
“Ada juga tawaran untuk saya berlakon sebagai hero tapi terpaksa ditolak kerana saya rasa banyak ruang yang perlu saya pelajari.
“Memainkan peranan watak utama bukan sekadar berlakon, tetapi ada cara pembawakan yang perlu saya terokai. Namun, semua itu berbalik kepada individu dan bagaimana mereka merencana karier,” katanya.
Melanjutkan bicara, kata Nadhir, bergelumang dalam bidang seni bukan dipacu intuisi untuk mengejar kemewahan wang atau sinar glamor semata-mata.
Dia percaya, ada sudut lebih besar dan berharga perlu diukur.
“Apa juga tawaran yang saya terima, bukan bergantung kepada skrip. Saya bukan ambil tawaran semata-mata demi wang, tetapi nak berikan yang terbaik.
“Saya nak berada dalam industri seni tanah air untuk jangka panjang. Kadang-kadang kalau terlalu cepat naik, akan cepat turun juga,” tuturnya berhemah.
Jaga nilai eksklusif
Melibatkan diri dalam bidang seni pada era semuanya mudah untuk berhubung dengan hanya bantuan teknologi, Nadhir yang dilahirkan di California Selatan, Amerika Syarikat memaklumkan, dia perlu menggunakan kelebihan yang terbentang sebaik mungkin.
Dia ingin terus mewujudkan interaksi dengan peminat dan menggunakan kelebihan teknologi sebagus mungkin serta tidak dicacamarbakan dengan perihal tidak sepatunya.
“Secara peribadi, dalam media sosial, saya perlu kekal wujudkan ‘engagement’ kerana itu elemen yang penting. Namun, saya sentiasa beringat bahawa sebagai pelakon, kita tak boleh berikan semua yang kita ada.
“Seperti pelakon senior, Faizal Hussein nasihatkan, biar ada nilai eksklusif dalam diri seseorang pelakon dan perlu bijak mengatur strategi ‘permainan’ dalam arena industri seni ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengakui sedikit tersentak dengan situasi pandemik Covid-19 yang membuatkan ramai runsing, akui Nadhir, apa yang berlaku memberi kesan terhadap kreativitinya sebagai pelakon.
“Untuk pelakon atau orang yang bekerja dalam dunia kreatif, kesan lebih mendalam akibat pandemik ini adalah lebih kepada kesihatan mental dan minda.
“Kita bukan orang yang jenis duduk di rumah kerana sentiasa ada interaksi dengan ramai orang. Dari situ, kita berkongsi pandangan, pendapat dan cerita.
“Apabila banyak aktiviti yang sering dilakukan tidak dapat dilakukan seperti biasa. Semua itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada minda dan pemikiran kreatif seorang anak seni,” katanya menggulung perbualan.