fbpx

Perak pertimbang dos ketiga vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Akmal (dua dari kanan) semasa meninjau operasi PPV Silverlakes di Batu Gajah pagi tadi.

BATU GAJAH – Sebarang keputusan berhubung pemberian vaksin dos ketiga Covid-19 di negeri ini akan dimuktamadkan oleh Jabatan Kesihatan negeri (JKN) sepertimana diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada KKM dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Katanya, pada masa ini cadangan pemberian suntikan vaksin dos ketiga Covid-19 dan dos penggalak masih dalam peringkat kajian.

“Kerajaan negeri melalui JKN sedang menunggu arahan daripada KKM (untuk pemberian dos ketiga vaksin Covid-19.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengkaji keperluan tersebut melalui JKN yang turut mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Silverlake Batu Gajah di sini hari ini.

Pembukaan PPV ini untuk mengatasi kesesakan di PPV Dewan Bandaran Kinta bagi penerima dos kedua secara pandu lalu.

Sarawak sebelum ini dilaporkan bakal menjadi negeri pertama dalam negara melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bermula bulan depan.

Bagaimana pun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketika ini KKM masih dalam proses penyediaan garis panduan klinikal untuk pelaksanaan suntikan tersebut.

Dalam perkembangan lain kata Mohd. Akmal, kemungkinan beberapa PPV di Perak bakal ditutup pada Oktober depan susulan hampir semua penduduk dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagaimana pun katanya, kerajaan negeri masih meneruskan program outreach vaksinasi bagi memastikan lebih ramai individu dapat menerima suntikan vaksin masing-masing.

“Angka terkini sehingga semalam kira-kira 86.9 peratus atau 1.61 juta individu berusia 18 tahun telah menerima dos pertama manakala lengkap dua dos mencapai 68 peratus atau 1.26 juta orang.

“Jumlah penduduk yang telah mendaftar untuk menerima vaksin adalah kira-kira 1,624,860 atau 87.24 peratus daripada populasi keseluruhan di Perak,” ujarnya.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI