GEORGE TOWN – Penurunan kes positif Covid-19 kepada tiga angka sejak semalam di Pulau Pinang menunjukkan keberkesanan program vaksinasi yang dijalankan di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia juga melibatkan strategi antara kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam melawan penularan virus itu.
“Kerajaan negeri memperoleh kerjasama penuh daripada KKM berhubung penghantaran sumber tenaga perubatan dari negeri-negeri lain yang kini berjumlah kira-kira 250 orang, manakala peralatan perubatan bagi keperluan hospital-hospital di sini juga telah ditambah baik.
“Ini termasuk pengoperasian hospital medan yang dilengkapi dengan 100 katil di tapak parkir Hospital Pulau Pinang. Jadi, teruskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kita mampu menang dalam pertempuran ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes Covid-19 di Pulau Pinang menunjukkan penurunan ketara dengan 793 kes dicatatkan hari ini berbanding lebih 1,000 kes sejak beberapa minggu lalu.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja Pulau Pinang membabitkan mereka berusia 16 hingga 17 tahun dijangka berakhir pada hujung bulan ini manakala pelajar berusia 12 hingga 15 tahun akan bermula pada 29 September ini. – K! ONLINE.