GOMBAK – Seorang pemandu lori cedera parah selepas kenderaan dipandunya itu merempuh belakang sebuah treler di kilometer (km) 26.2 Lebuhraya Karak, dekat sini hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.46 pagi.
“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian pukul 6.09 pagi didapati kemalangan berlaku melibatkan dua buah kenderaan yang mana lori 10 tan telah merempuh belakang sebuah treler,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan patah pergelangan kaki kiri dan cedera pada bahagian dada (dalaman).
“Petugas menggunakan beberapa peralatan khas berupa peralatan memotong bagi mengeluarkan mangsa dan dia kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Komander operasi turut membuat pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian bagi mengelak wujudnya peralatan merbahaya kepada pengguna jalan raya lain dan operasi tamat sepenuhnya pukul 7.36 pagi,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929