fbpx

Nor Sakinah tekad pecah monopoli lelaki dalam bidang teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GADIS berusia 24 tahun ini berharap lebih ramai wanita menceburkan diri dalam dunia pengekodan dan memecahkan monopoli lelaki dalam bidang tersebut.

BIARPUN baru sahaja mengenali gadis bertubuh kecil molek ini, namun mendengarkan bait-bait perkataan yang dilontarkan, penulis menyimpulkan pemilik nama Nor Sakinah Md. Othman, 24, merupakan seorang individu yang bercita-cita tinggi.

Satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, gadis yang kini menetap di Bangi, Selangor itu tidak mempunyai ramai kenalan sejak kecil sehingga dia sudah terbiasa berdikari dan tahu apa yang diimpikan dalam hidupnya.

Justeru, tidak hairanlah jika anak bongsu daripada tiga beradik ini memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang dimonopoli oleh pelajar lelaki, Ijazah Sarjana Sains Komputer (Artificial Intelligence) selepas berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Jurusan Sains Komputer di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Minat saya dalam pengekodan bermula semasa saya berumur 17 tahun. Saya berlatih pengekodan di rumah arwah nenek dan atuk di Kuala Terengganu. Tarikan utama bidang teknologi dan pengekodan adalah aspek penyelesaian masalah dan kebebasan untuk mencipta.

“Masalah-masalah dunia sekarang sebenarnya dapat diselesaikan atau dipermudahkan dengan bantuan teknologi. Jadi, ia amat menarik untuk saya melihat perkembangan teknologi yang pesat dan kehadirannya dalam kehidupan manusia,” katanya.

Ternyata Nor Sakinah begitu meminati dunia pengekodan apabila dia sering menyertai pertandingan sehingga berjaya memenangi tempat pertama sewaktu melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

NOR SAKINAH sering menjuarai pertandingan pengekodan yang disertainya
di menara gading.

Melihat pelbagai keunikan dan kelebihan yang ada dalam bidang tersebut, Nor Sakinah berharap dapat menggalakkan lebih ramai golongan wanita menyertai bidang teknologi dan berani pecahkan monopoli lelaki.

Menjadikan ibu dan arwah nenek sebagai idola, menurut Nor Sakinah lagi, sejak kecil lagi dia melihat kedua-dua wanita yang begitu lantang bersuara dalam isu-isu sosial seperti kepentingan pendidikan dan hak-hak wanita.

“Arwah nenek saya merupakan seorang guru di Terengganu, manakala ibu pula pensyarah di UKM yang sudah bersara.

“Wanita-wanita inilah yang memberi saya semangat dan menjadi contoh teladan bahawa wanita mampu merealisasikan impian dengan usaha yang tinggi. Saya berharap mampu menjadi seperti mereka pada masa hadapan,” tambahnya.

Biarpun sibuk mentelaah pelajaran di samping bekerja sepenuh masa bagi menampung kos pengajian, namun Nor Sakinah tidak pernah lupa untuk menjaga kesihatan mentalnya dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang digemari sewaktu lapang.

Katanya, antara aktiviti yang sering dilakukan adalah memasak, membaca, menghias bilik dan mencipta video harian di YouTube.

“Sejak pandemik bermula, saya bekerja dari rumah dan saya dapat merasai kesannya terhadap kesihatan mental saya. Perkembangan kajian ijazah sarjana saya juga perlahan kerana perlu utamakan kesihatan terlebih dahulu.

“Justeru, saya kini membuat video harian di YouTube. Sebenarnya saya mula membuat video sejak di peringkat sekolah menengah lagi. Bagaimanapun, pada waktu itu tahap keyakinan saya masih lagi kurang.

“Saya berminat untuk merakam perihal hidup saya seperti memasak, mengemas, belajar, menyiapkan kerja serta bercakap mengenai isu pendidikan, pengurusan masa dan wang,” kongsinya.
Bukan sekadar hobi semata-mata, Nor Sakinah berharap dengan mengadakan saluran tersebut dapat mengikut jejak langkah ibu dan arwah nenek yang lantang menyuarakan isu-isu semasa.

“Saya berharap walaupun satu masa nanti, video itu mampu membuatkan penonton terutamanya wanita terdetik dalam fikiran untuk mereka juga mampu mencapai dan melakukan apa yang diinginkan.
“Itu niat dan impian saya membuat saluran YouTube itu,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI