HULU SELANGOR – Seorang anggota tentera dan seorang warga emas cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung di simpang tiga Rasa Kampung Napi, Jalan menghala Ampang Pecah, dekat sini hari ini.
Anggota tentera yang berusia 40 tahun itu memandu kereta jenis Proton Wira berseorangan manakala warga emas berusia 69 tahun itu pula menaiki kereta Mercedes bersama tiga individu lain.
Seorang lagi penumpang kereta Mercedes yang juga warga emas berusia 79 tahun dilaporkan hanya cedera ringan dan dua lagi termasuk pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.20 pagi.
“Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu (KKB) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian pukul 8.27 pagi didapati berlaku kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang mana kereta Mercedes dipandu lelaki berusia 22 tahun bersama tiga penumpang telah bertembung dengan sebuah Proton Wira yang dipandu seorang tentera.
“Pertembungan itu menyebabkan anggota tentera berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu manakala seorang penumpang wanita yang menaiki kereta Mercedes parah (patah kaki kanan) dan seorang lagi penumpang lelaki cedera ringan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua mangsa dihantar ke Hospital KKB dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929