PUTRAJAYA – Jabatan Pertanian akan terus mengenengahkan kemajuan teknologi baharu kepada rakyat khususnya usahawan tani melalui pelbagai sesi webinar bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman makanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia antara usaha jabatan itu yang antara lain mengembangkan kaedah penanaman secara fertigasi yang ketika ini menjadi pilihan utama kerana penggunaan input pertanian efisien dan mesra alam sekitar.
“Pengurusan tanaman juga lebih mudah walaupun kos awalan pembangunannya jauh tinggi berbanding sistem konvensional selain kaedah ini memiliki banyak kelebihan,” kata beliau ketika merasmikan Webinar Fertigasi secara maya di sini hari ini.
Program dua hari itu melibatkan 1,100 peserta yang telah mendaftar secara talian dengan sebanyak 10 kertas kerja meliputi pelbagai tajuk dibentang termasuk perkongsian dalam kalangan pegawai, penyelidik dan pengusaha fertigasi yang berjaya serta turut disiarkan secara langsung melalui saluran khas YouTube TV Pertanian.
Ahmad berkata, sistem fertigasi lebih lestari sudah digunakan secara meluas dalam pengeluaran tanaman makanan utama negeri seperti cili, tomato, salad, melon dan halia.
Penggunaan fertigasi, jelasnya, juga sejajar Revolusi Industri (IR) 4.0 apabila sistem itu boleh diintegrasikan dengan teknologi Internet Benda, Kecerdasan Buatan, automasi dan robotik yang aman sistem fertigasi secara pintar membolehkan aspek pengurusan dan pemantauan ladang dapat dilaksanakan lebih cekap tanpa berlaku pembaziran. – K! ONLINE.