PETALING JAYA – Pensohor media sosial yang terkenal dengan aksen Inggeris pelat, King Coco atau nama sebenarnya, Marshaira Ismail mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya, Azrin Anas Abdul Shukor.
Perkara tersebut dimaklumkan wanita berkenaan menerusi satu muat naik video dalam Instagram. Katanya, dia berharap agar penjelasannya itu menjawab segala spekulasi berkenaan status dirinya sekarang.
“Penjelasan untuk semua. Harap menepati apa yang perlu saya jelaskan,” ujarnya sebagai kapsyen video yang dimuat naik.
Dalam video yang dikongsi, King Coco memberitahu, sebenarnya dia enggan mendedahkan perkara tersebut, namun dia perlu menjelaskan situasi sebenar bagi mengelakkan gangguan daripada individu tertentu.
“Sebenarnya saya tak nak buat video ini dah. Saya tak nak bercakap mengenai hal peribadi saya dah tapi saya rasa saya perlu jelaskan kerana ada orang yang telah diganggu,” katanya.
Jelasnya lagi, dia telah habis tempoh edahnya dan kini menjalani kehidupan tanpa teman lelaki atau suami disisi.
“Saya dah lama dah no longer married (dah lama tidak berkahwin) dan saya pun dah lama habis edah. Saya sekarang menjalani kehidupan sendiri tanpa ada teman lelaki atau suami,” kata yang masih setia dengan kepelatan aksen Inggerisnya.
Untuk rekod, King Coco berkahwin dengan Azrin Anas pada 1 Januari 2017 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Kyle Mateen dan Putra Muhammad Haqeem.
Selain terkenal dengan gaya percakapan ala mat salih, King Coco mencetuskan kontroversi apabila dia dituduh sebagai perampas suami orang. – K! ONLINE