fbpx

Didakwa meminta duit, Hattan buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hattan selesai membuat laporan polis apabila ada pihak tidak bertanggungjawab yang meminta wang secara mudah menggunakan namanya.

PETALING JAYA – Siang menerima mesej daripada ‘kenalan’ yang memohon bantuan kewangan, pada sebelah malam pula giliran telefon bimbit Datuk Hattan digodam apabila scammer mengajukan WhatsApp meminta semua kontak dalam nombor peribadinya menyumbangkan RM200 dan RM300.

Tidak menunggu lama, penyanyi Biso Bonar itu membuat laporan polis supaya perbuatan individu atau sindiket yang cuba memperdayakan duit orang lain dapat dikekang selain sebagai langkah berhati-hati.

Hattan atau Mohd Shukri Shahabudin, 57, berkata walau miskin atau berdepan masalah kewangan yang teruk sekali pun dia tidak mungkin meminta-minta kepada sahabat lain dengan cara mudah sebegitu.

“Saya baru balik dari balai polis untuk membuat laporan. Telefon saya digodam. Petang tadi nombor telefon kawan saya yang ada gambar dia hantar mesej konon-konon minta tolong.

“Malam ini gambar saya pula yang kena. Habis semua kawan-kawan saya terima Whatsapp katanya saya minta duit RM200 ke RM300. Itu adalah scam,” kongsinya menerusi video di Instagram, kelmarin.

Menerusi perkongsian tersebut, Hattan yang meluahkan rasa marah apabila identitinya dipergunakan scammer turut menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat sebaik dimaklumkan beberapa rakannya.

Pada masa sama, dia turut mengingatkan orang ramai supaya lebih peka dengan situasi semasa dengan tidak mudah mempercayai sebarang permintaan yang kurang munasabah.

“Kita perlu hati-hati dan jangan layan perkara sebegini. Memang kadang kala kita tak fokus sampai mudah sangat menolong kalau dapat mesej minta tolong, lebih-lebih lagi kawan.

“Saya pun sudah mesej semula semua kontak mengesahkan itu kerja penggodam. Polis pun sarankan untuk kita guna applikasi dalam talian supaya mudah kesan mesej atau panggilan scammer,” ulasnya lagi.

Identiti Hattan bukan pertama yang dipergunakan untuk tujuan penipuan talian, sebelum ini Whatsapp dramatis senior, Mubarak Majid juga telah digodam hingga ada dikalangan kenalannya mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI