LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya pasukannya sudah kembali berada pada prestasi terbaik selepas mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menewaskan Chelsea 1-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Pada aksi tersebut, skuad The Citizens tidak mempunyai masalah untuk meraih tiga mata penuh hasil jaringan tunggal yang dilakukan oleh penyerang utama, Gabriel Jesus sekali gus melonjakkan kedudukan pasukan di tangga kedua liga ketika ini.
Kata Guardiola, selepas mempamerkan prestasi ‘yo-yo’ pada awal musim ini, anak-anak buahnya sudah mula menunjukkan momentum sebenar selaku juara bertahan saingan EPL selepas mudah mendominasi pasukan The Blues kendalian Thomas Tuchel itu.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan ini adalah 90 minit terbaik yang pasukan harungi pada musim ini. Pasukan telah menunjukkan prestasi luar biasa dengan menjuarai EPL dan muncul naib juara Liga Juara-Juara musim lalu tetapi agak bergelut pada awal musim ini.
“Kemenangan ini diharap dapat melonjakkan motivasi pasukan dalam mengharungi dua lagi perlawanan getir menentang Paris Saint-Germain (PSG) dan Liverpool pada minggu ini yang saya percaya menjadi penanda aras sebenar kualiti barisan pemain kami,” katanya.
Sementara itu, bekas pengendali Barcelona itu turut memuji impak yang diberikan oleh Jesus yang dianggap cukup penting dalam mencorakkan jentera serangan pasukan tidak kira diletakkan sebagai kesebelasan utama mahupun sebagai pemain gantian.
“Jesus adalah salah seorang pemain contoh dalam pasukan kami kerana dia memiliki mentaliti juara dan cukup rajin untuk membantu pasukan khususnya ketika bertahan. Secara jujur, saya anggap dia antara pemain terbaik yang pernah saya tandatangani,” katanya. – AGENSI