fbpx

Banjir terburuk selepas 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rodziah (kanan) sedang melihat penduduk membersihkan rumah masing-masing setelah air banjir surut di Kampung Kebun Bunga hari ini.

SHAH ALAM – Banjir kilat yang menyebabkan beberapa lokaliti di daerah ini termasuk Kampung Kebun Bunga ditenggelami air lebih satu meter disifatkan sebagai yang paling teruk selepas 15 tahun.

Ketua Kampung, Johari Mohd. Shaari berkata, hujan lebat menyebabkan air naik mendadak disebabkan limpahan air Sungai Damansara dari sebelah hulu.

Katanya, banjir yang terbaharu dikatakan bermula pukul 8 malam sebelum surut pukul 6 pagi tadi.

“Ini banjir kedua terburuk pernah dialami dengan banjir pada 2006 menyebabkan rumah penduduk kampung tinggal bumbung sahaja.

“Rata-rata penduduk kini sudah mula membersihkan rumah mereka yang dipenuhi dengan lumpur,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hasil tinjauan mendapati, banjir kilat itu turut menyebabkan hampir keseluruhan 300 rumah didiami 1,200 penduduk termasuk warga asing dimasuki air selain Surau Al Hasani.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, sistem pengaliran melibatkan Persiaran Selangor dan kawasan sekitar Batu Tiga di sini perlu dinaik taraf kepada longkang monsun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga menjelaskan apabila berlaku limpahan air dari luar seperti daripada Sungai Damansara akibat hujan lebat akan menyebabkan sistem perparitan di kampung tersebut gagal mengalirkan air keluar hingga terjadinya banjir.

“Bancian terhadap kerosakan berlaku akibat banjir itu sedang dijalankan agar bantuan dapat disalurkan dengan segera,” jelasnya.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI