PETALING JAYA – Penantian selama 10 tahun oleh penyanyi Azmi Saat untuk menimang cahaya mata sulung berakhir selepas isterinya, Nazirah Muhammad selamat melahirkan cahaya mata lelaki pertama mereka pada pukul 9.09 pagi, hari ini.
Kelahiran tersebut sekali gus menjadi hadiah bermakna sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-34 hari ini yang kebetulan jatuh pada hari ini.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri Azmi atau nama lengkapnya Khairul Azmi Mohd. Saat menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
“Alhamdulillah. Pukul 9.09 pagi tadi, anak sulung saya telah selamat dilahirkan ke dunia.
“Urusan pembedahan berjalan lancar. Macam-macam perasaan ada bila kali pertama mendengar suara bayi,” tulisnya.
Dengan kelahiran permata hati sulungnya itu, Azmi turut menitipkan doa dan harapan semoga dia menjadi seorang bapa yang baik untuk anaknya nanti.
“Syukur Ya Allah. Moga saya dapat menjadi ayah yang baik. Terima kasih atas doa kalian yang tidak putus-putus buat kami sekeluarga,” ujarnya.
Terdahulu, vokalis kumpulan Caliph Buskers itu mendedahkan bahawa isterinya bersalin secara pembedahan sebagaimana saranan doktor.
Kata Azmi, kalau diikutkan, isterinya dijangka bersalin secara normal pada 8 Oktober depan, namun doktor menasihatinya untuk bersalin secara pembedahan bagi mengelak sebarang komplikasi.
Justeru, Azmi yang mendirikan rumah tangga bersama isteri pada 2011 memilih untuk menimang cahaya mata pada 27 September (hari ini) bersamaan dengan tarikh hari jadinya. – K! ONLINE