KANGAR – Seorang wanita warga emas yang ditemui bersama mayat suami dan anak lelakinya dalam sebuah rumah di Taman Datuk Setia, Jalan Kaki Bukit dekat sini petang semalam disahkan positif Covid-19 kategori empat.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, wanita yang dipercayai berusia lingkungan 70-an itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dan pihaknya masih belum mempunyai maklumat mengenai wanita terbabit kerana kad pengenalannya belum ditemui.
“Ketika ditemui semalam, dia dalam keadaan murung dan tidak mengetahui siapa dirinya dan kami juga tidak dapat berjumpa dengannya untuk menyiasat lebih lanjut kerana dia positif Covid-19 dan sedang dirawat di hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang lelaki warga emas dan anak lelakinya ditemui mati disyaki akibat jangkitan Covid-19 di rumah mereka di Taman Datuk Setia, Jalan Kaki Bukit dekat sini.
Sementara itu, seorang wanita yang merupakan isteri kepada warga emas terbabit ditemui dalam keadaan murung dan dipercayai tinggal bersama mayat suami serta anak lelakinya itu yang disyaki meninggal dunia kira-kira dua hari lalu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929