KUALA NERUS – Satu gol dalam setiap babak membantu Terengganu memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila mengatasi Kuching City 2-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Mohd. Nafuzi Zain menepati ramalan mengutip mata penuh berdepan skuad kendalian bekas sifunya, Irfan Bakti Abu Salim.
Turun selaku tuan rumah, Terengganu hanya memerlukan tiga minit untuk menguji kubu lawan menerusi sepakan bebas Lee Tuck yang ditepis penjaga gol, Wan Muhammad Azraei Wan Teh.
Kuching City terus cemas apabila sepakan percuma Tuck disambar Makan Konate mujur tandukan pemain Mali itu terkena tiang pada minit kesembilan.
Tekanan diberi Terengganu membuahkan hasil pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti Tuck setelah Wan Muhammad Azraei menjatuhkan Jordan Mintah untuk gol pembukaan perlawanan.
Anak-anak buah Irfan Bakti cuba memberi saingan namun percubaan deras Diego Baggio dinafikan penjaga gol Terengganu, Mohd. Suhaimi Husin, seminit sebelum rehat.
Pemain Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim, kemudian mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-48 apabila menyambar tandukan Konate sekaligus melebarkan kedudukan 2-0.
Tiada tambahan jaringan menyaksikan ketua pasukan, Carli De Murga terus kental mengetuai pertahanan Terengganu sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929