fbpx

Tiada penjarakan fizikal, diskriminasi di AS – Lana Nodin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lana mengakui kini lebih selesa menetap di negara kelahiran suaminya, AS kerana lebih bebas dan tidak wujud diskriminasi berhubung vaksinasi Covid-19.

PETALING JAYA – Pelakon kontroversi Lana Nodin mengakui kini lebih selesa menetap di negara kelahiran suaminya di Amerika Syarikat (AS) yang dilihat lebih bebas tanpa wujud sebarang sekatan mahupun diskiriminasi berhubung vaksinasi Covid-19.

Menerusi hantaran dalam Instagramnya, Lana berkongsi video suaminya, David McKienzie menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan kediaman mereka tanpa ada lagi penjarakan sosial sebagai satu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Covid-19 membadai dunia.

“Hari ini (semalam, Jumaat waktu AS), suami dapat menunaikan solat Jumaat berjemaah dekat Masjid Hamzah di Clearwater.

“Surprisingly (terkejut) ramai umat Islam menunaikan solat Jumaat dan semasa kami solat, saf di sini tidak ada penjarakan sama seperti saf sebelum wujudnya Covid dan tiada diskriminasi yang dikenakan untuk memasuki masjid ini. Masya-Allah, thank you (terima kasih) Allah,” tulisnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan AS yang kini dilihat lebih efisien dalam mengawal penularan wabak maut yang melanda dunia ketika ini.

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang menemplak Lana agar tidak membanding-bandingkan AS dengan Malaysia dan berpesan untuk tidak bersifat riak dengan menunjuk segala kebebasan yang dinikmatinya disana.

Dalam hantaran sama, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin turut mendoakan agar urusan keluarga, rakan-rakan dan seluruh rakyat di Malaysia dipermudahkan lebih-lebih lagi ketika musim pandemik ini.

Terdahulu, nama pelakon Aku Yang Kau Gelar Isteri itu menjadi buah mulut netizen dan hangat diperkatakan kerana mengkritik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah agar segera meletakkan jawatan.

Dia turut dituduh sebagai antivaksin dan cuba menghasut orang lain dengan mempersoalkan keberkesanan vaksin Covid tersebut.

Lana turut menegaskan dia bukan golongan anti vaksin seperti yang dilabel dan tetap akan mengambilnya tidak lama lagi di AS.

Untuk rekod, Lana dan keluarganya berlepas ke AS minggu lalu dan bakal pulang semula ke Malaysia selepas semua urusan keluarga suaminya selesai kelak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI