fbpx

Tak hebohkan perkahwinan, Ezlynn cuba elakkan orang iri hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EZLYNN selamat bergelar isteri kepada Wan Mohd. Hafizam yang juga penderma hati pertama negara sejak 11 September lalu.

PETALING JAYA – Tiada niat menyembunyikan pernikahan keduanya dengan penderma hati pertama negara, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail, penyanyi Ezlynn yang menamatkan zaman solonya pada 11 September lalu lebih selesa meraikan hari bahagia dengan keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Katanya, pendekatan tersebut diambil bagi mengelakkan penyakit ain atau iri hati pihak lain memandangkan pernah melalui pengalaman mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran namun tidak berkekalan.

“Lebih baik hanya bernikah mengikut rukun wajib. Sebenarnya kami memang nak kongsi majlis ini dengan keluarga dan rakan terdekat saja sebab di luar sana banyak ada penyakit ain. Kita tak tahu hati orang dan bagi saya kebahagiaan adalah bersama keluarga, bukan untuk tontonan umum.

“Saya pernah buat majlis (resepsi) yang besar. Semua orang tahu acara besar pun tak kekal lama. Biarlah kali ini saya niatkan dengan insan terdekat yang ambil berat dan yang benar-benar sayangkan kami.

“Tambahan pula tiada perancangan pun nak kahwin kerana kami lebih kepada teman sekerja. Tiada pun persiapan apa-apa untuk pernikahan ini ,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ezlynn atau Azline Ariffin, 39, berkata demikian ketika mengulas mengenai pernikahannya dengan Hafizam, 45, yang berlangsung setelah empat tahun hidup menjanda sejak perkahwinan terdahulu dengan pengurusnya, Adam Fahmy berakhir pada 2017.

Menyentuh pertemuan dengan Hafizam, Ezlynn menyifatkan lelaki berusia 45 tahun itu berbeza dengan lelaki lain yang dikenali sebelum ini. Hafizam serius mahu memperisterikan dirinya malah tidak teragak-agak menghubungi orang tuanya bagi meminta izin.

“Awak nak kahwin dengan saya,”. Itu lamaran yang diajukan kepada saya seminggu sebelum kami sah sebagai suami isteri walaupun pada awalnya hubungan yang terjalin hanya sebagai rakan sekerja dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Boleh dikatakan kami macam kawan lain. Awalnya, saya tak tahu pun dia siapa. Tak tahu kisahnya sebagai penderma hati. Cuma yang saya nampak dalam melaksanakan kerja, dia sangat bersungguh-sungguh dan cukup amanah.

“Kemudian, sebaik tahu dia penderma hati pertama negara, saya yakin kalau hati sendiri pun boleh didermakan kepada insan memerlukan, itu menunjukkan dia seorang yang tidak pentingkan duniawi. Saya pula kini ke arah akhirat, jadi saya mahu suami yang boleh bimbing saya ke sana.

“Apabila saya minta dia hubungi mak ayah kerana kalau mereka setuju, baharu saya akan terima, suami terus berbuat demikian. Alhamdulillah, mereka yang tahu kehidupan saya sebelum ini bagi restu dan turut berkongsi kegembiraan ini,” katanya.

Menyentuh isu poligami membabitkan perkahwinan dengan lelaki berstatus bapa kepada tiga cahaya mata itu seperti diperkatakan sesetengah pihak, sebagai hamba-Nya, Ezlynn enggan mempertikaikan ketentuan Allah.

“Ajal, maut dan jodoh rahsia Allah. Saya tak boleh komen panjang mengenai perkara itu. Siapa saya yang mahu mempersoalkan ketentuan yang sudah ditentukan Allah untuk saya,” ulasnya yang tidak dikurniakan cahaya mata daripada perkahwinan pertama dulu.

Tiada halangan daripada suami tercinta untuk terus bergiat dalam arena seni, penyanyi Hi Hi Bye Bye itu berasa bertuah kerana diberikan lampu hijau asalkan pandai menjaga diri dan memahami tanggungjawab sebagai isteri.

“Suami memang bagi sokongan kepada kerjaya saya. Kalau boleh mungkin selepas ini saya akan membawakan lagu berunsur ketuhanan dan kemanusiaan,” tambahnya.

Pada masa sama, Ezlynn yang mengakui awalnya agak kekok kembali hidup berdua kini semakin selesa melaksanakan amanah sebagai isteri.

Sebagai persediaan masa depan, pasangan itu merancang mengusahakan perniagaan selain terus aktif melakukan kerja amal dan kebajikan dalam meringankan beban insan lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI