fbpx

Simpan pakaian, petanda dia mahu pergi selamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD NUR RAMADAN (kanan) meninggal dunia dalam kemalangan di laluan bertingkat Le­buh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) berhampiran Pandan, Jumaat lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu jengkaut tidak me­n­yangka perubahan sikap anak sulungnya sejak seminggu lalu membawa petanda dia akan pergi jauh dan meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

Muhamad Nur Ramadan Munawar, 21, meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati selepas terjatuh dari ketinggian enam meter di laluan bertingkat Le­buh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) berhampiran Pandan di sini pagi kelmarin.

Bapa mangsa, Munawar Karim, 43, berkata, kejadian berlaku ketika anaknya itu dalam perjalanan pulang membawa adiknya, Qhaizul Izhar, 19, ke Taman Scientex, Pasir Gudang selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital swasta di Jalan Abdul Samad di sini.

Qhaizul merupakan seorang remaja istimewa orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran.

“Kedua-dua mereka menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dan apabila tiba di lokasi kejadian, Muhamad Nur Ramadan yang menunggang motosikal dipercayai terbabas lalu melanggar tembok jalan sebelum tercampak lalu jatuh dari flyover.

“Adiknya yang dalam keadaan terkejut mencari-cari abangnya dibantu orang ramai sebelum menyedari Ramadan sudah jatuh ke bawah,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Jabatan Kesihatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam.

Ceritanya, anak sulung daripada lima beradik itu yang baharu tiga bulan bekerja sebagai juruteknik elektrik di sebuah syarikat mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.

Qhaizul pula hanya luka pada tangan dan kaki.

PETUGAS kesihatan mengangkat mayat Muhamad Nur Ramadan yang terjatuh dari laluan bertingkat Lebuh Raya EDL, Johor Bahru kelmarin.

Bercerita lanjut, jelasnya, tidak banyak perubahan berlaku pada Muhamad Nur Ramadan kerana anaknya sibuk menumpukan perhatian pada pekerjaan baharunya.

“Namun, seminggu sebelum ini, dia kutip semua pakaian miliknya dan pergi hantar dobi dan kemas bilik seolah-olah macam dia nak pergi jauh.

“Semalam, Allah SWT jemput dia, kami sekeluarga reda dengan ketentuan takdir ini, kami sekeluarga maafkan dia, semoga dia tenang di sana,” ujarnya.

Jenazah Muhamad Nur Ramadan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang.

Berita berkaitan: Maut jatuh ‘flyover’ lepas hantar adik vaksin

Kosmo! semalam melaporkan hasrat murni seorang abang untuk membawa pulang adiknya selepas menerima vaksin Covid-19 berakhir tragedi apabila dia maut selepas tercampak jatuh dari laluan bertingkat Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) di sini.

Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala adiknya berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan apabila terjatuh di lokasi kemalangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian kemalangan dipercayai daripada motosikal itu yang ter­babas sendiri dan melanggar tembok konkrik di Kilometer 4 Lebuh Raya EDL.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI