fbpx

Selangor mula ‘Misi 34’ dengan langkah kanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Selangor meraikan jaringan ketika menundukkan Perak FC di Petaling Jaya sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC memulakan ‘Misi 34’ dengan langkah kanan selepas menewaskan Perak FC 1-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebentar tadi.

Pada saingan tersebut, skuad Gergasi Merah yang dikendalikan oleh Karsten Neizel membariskan kesebelasan terbaik termasuk penyerang import utama, Ifedayo Olusegun dan perancang tengah, Hein Htet Aung.

Percaturan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila pasukan tuan rumah rancak melakukan serangan tetapi beberapa percubaan khususnya dilakukan oleh Ifedayo gagal menepati sasaran.

Namun, pasukan pelawat mencipta peluang yang lebih berbahaya pada babak pertama yang dimiliki oleh penyerang sensasi, Nana Poku tetapi percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol, Khairuazhan Khalid.

Bersambung pada separuh masa kedua, Selangor terus ghairah memburu gol pembukaan dan hampir memecah kebuntuan hasil tandukan kapten pasukan, Safuwan Baharudin pada minit ke-76 tetapi tersasar.

Tuah ternyata memihak Selangor apabila pengadil menghadiahkan penalti berselang dua minit kemudian selepas pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj dijatuhkan oleh benteng The Bos Gaurus, Mohd. Idris Ahmad.

Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya oleh Ifedayo untuk meledak gol tunggal perlawanan selepas sepakannya mengelirukan penjaga gol Perak, Muhd. Azri Ghani pada minit ke-79.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu mengutip tiga mata berharga. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI