PETALING JAYA – Pelakon Reza Hasbi meluahkan rasa bimbang apabila isterinya, Rose Darlila Roseli yang kini hamil tiga bulan disahkan positif Covid-19.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Reza atau nama lengkapnya Muhamad Ridzuan Hasbullah berkongsi rasa bimbang terhadap keadaan isteri dengan memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia.
“Assalamualaikum. Saya Reza Hasbi. Saya mohon budi baik semua doakan isteri saya positif Covid-19 dengan kandungannya baru cecah tiga bulan lebih.
“Isteri saya sudah dua dos, tetapi belum matang 14 hari lagi,” tulisnya dalam Instagram.
Ujar pelakon drama Dia Menantu Rahsia itu lagi, isterinya kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) untuk pemantauan dan rawatan.
Dalam pada itu, Reza yang kini berada di Kuala Kangsar, Perak bersama anak sulungnya, Mohamamad Rifqi Danial, 5, memohon orang ramai untuk mendoakan keselamatan isteri supaya sembuh daripada wabak maut tersebut.
“Saya mohon doakan isteri dan anak saya serta keluarga mertua di Subang, Selangor. Terima kasih banyak atas doa kalian,” katanya.
Menerusi satu hantaran berbeza, Reza berkata bahawa dia sangat menghargai setiap doa daripada orang ramai untuk isterinya dan tidak mampu membalas kebaikan tersebut.
“Ramai yang mendoakan keluarga saya. Tidak terbalas dibuatnya. Saya sangat menghargainya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi baik semua.
“Hari ini hari kedua isteri di Maeps, Serdang,” katanya.
Sekadar info, pasangan Reza dan Rose telah mendirikan rumah tangga pada 2015. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Rifqi Danial, 5, dan Muhammad Rafie Daiyan dua tahun tujuh bulan. – K! ONLINE