PASIR PUTEH – Orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu menjadi hakim kepada kes gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal susulan penyebaran video dan mesej lucah menerusi media sosial baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, masyarakat juga perlu berhenti menyebar aib individu kerana boleh menjadi fitnah jika tuduhan itu tidak benar.
Menurutnya, jika kesalahan itu benar-benar dilakukan dengan bukti sahih, ia masih tidak sepatutnya ditularkan di media sosial bagi mengelak dosa mengumpat dan membuka aib yang sememangnya ditegah Islam.
“Hentikan kutuk-mengutuk dan ejekan selagi kes ini masih dalam proses siasatan. Jangan jadikan media sosial sebagai platform menambah dosa sebaliknya, serah tugasan itu kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan tunggu mahkamah mengadilinya.
“Pertembungan pendapat di media sosial tidak perlu dipanjangkan. Kita perlu taat pada tuntutan agama yang melarang daripada mendedahkan keaiban saudara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Sumbangan Qasih Inspirasi Yapiem di Tok Bali di sini hari ini.
Mengulas mengenai kes Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, Ahmad Marzuk berkata, prosiding pendakwaan yang tertangguh akan diteruskan sebaik sahaja usahawan terkenal itu dibawa pulang ke tanah air. – K! ONLINE