KUANTAN – Polis Pahang bersedia untuk menghadapi gelembung pelancongan yang akan dibuka di negeri ini iaitu di Pulau Tioman dan Genting Highlands, pada 1 Oktober depan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan perlu pengoperasian polis yang lebih intensif di dua destinasi pelancongan berkenaan.
“Kita sedang melihat dan mengambil contoh ‘good practices’ (amalan yang baik) yang dibuat di Langkawi dan mungkin ada ‘lesson learn’ (pengajaran) kita akan lihat keadaan di sana dan kita akan sesuaikan dengan keadaan di sini.
“Jika memerlukan penambahan anggota yang lebih, itu yang kita akan lakukan,”katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan Program Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 dan Pencegahan Jenayah, di sini, hari ini.
Mengenai tahap pemantauan pematuhan SOP, Ramli berkata, perkara itu akan ditekankan dalam pasukan pemantauan dan akan melihat pendekatan yang sepatutnya. – K! ONLINE