BARCELONA – Barcelona dilaporkan sudah menghubungi Jurulatih Belgium, Roberto Martinez yang dianggap sebagai pengganti sesuai untuk menjadi pengendali baharu pasukan itu selepas ini.
Gergasi Sepanyol itu dilaporkan sudah hilang sabar dengan jurulatih semasa, Ronald Koeman selepas mereka memulakan musim ini dengan prestasi yang agak goyah menyebabkan mereka merasakan perlu untuk mencari alternatif lain.
Martinez dikatakan menjadi pilihan Presiden Barcelona, Joan Laporte yang sudah merancang untuk mendapatkan khidmatnya sejak terpilih sebagai supremo kelab itu dalam pemilihan pada Mac lalu.
Bagaimanapun, Barcelona dikatakan hanya menghubungi Martinez tetapi belum memulakan sebarang rundingan mengenai terma-terma lain untuk membawanya ke Camp Nou.
Keputusan goyah dalam tiga perlawanan lalu, tewas 0-3 kepada Bayern Munich pada saingan Liga Juara-Juara dan seri dalam dua perlawanan menentang Granada dan Cadiz menyebabkan kedudukan Koeman semakin tidak menentu.
Martinez yang sebelum ini mengemudi Wigan dan Everton dikatakan sudah memberitahu Persatuan Bola Sepak (FA) Belgium bahawa beliau mungkin akan meninggalkan tugas tersebut sekiranya mendapat tawaran daripada Barcelona.
The Catalans tidak berdepan masalah untuk mendapatkan Martinez kerana mereka hanya perlu membayar pampasan kontrak sekitar €1.5 juta (RM7.36 juta) kepada FA Belgium. – AGENSI