PETALING JAYA – Harga pakej umrah pada tahun ini berkemungkinan kekal seperti sebelum pandemik Covid-19 iaitu antara RM7,000 hingga RM8,000.
Pengarah Urusan Five Estec Travel Services Sdn. Bhd., Sharizan Mohd. Saad berkata, harga tersebut bagaimanapun belum dikira kos luar jangka yang mungkin berlaku bagi tahun ini.
“Sebelum ini agensi pelancongan menjangkakan kos menunaikan umrah akan meningkat sehingga RM9,000 disebabkan pelbagai syarat dan prosedur operasi standard (SOP).
“Bagaimanapun selepas perbincangan dilakukan bersama pelbagai pihak termasuk hotel dan penerbangan, kita menjangkakan harga pakej boleh dikekalkan seperti sebelum ini.
“Harga pakej umrah dijangka antara RM7,000 hingga RM8,000 pada tahun ini kerana pihak hotel dan penerbangan bersetuju untuk memberi harga promosi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dewan Rakyat baru-baru ini diberitahu kerajaan Malaysia masih merangka SOP bagi membenarkan pelaksanaan ibadah umrah pada Disember tahun ini.
Tambah Sharizan, SOP menunaikan umrah yang ditetapkan Arab Saudi dan Malaysia boleh berubah sekali gus memungkinkan berlaku pertambahan kos.
Katanya, sebagai contoh jika kerajaan Malaysia meminta jemaah umrah menjalani kuarantin di hotel selepas pulang dari Tanah Suci, maka ada kos tambahan perlu ditanggung agensi pelancongan.
Dalam pada itu, beliau mengakui jemaah Malaysia sudah tidak sabar untuk kembali menunaikan umrah dan pihaknya sudah pun menerima banyak permintaan ketika ini.
Perkara itu turut diakui Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC Travel Sdn. Bhd., Rosli Talib yang memaklumkan pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai mengenai SOP menunaikan umrah.
Bagaimanapun, katanya, tiada tempahan rasmi dilakukan buat masa ini kerana Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak membenarkan pengambilan deposit.
Tambah beliau, MOTAC juga tidak membenarkan agensi pelancongan mengeluarkan harga pakej umrah buat masa ini.
“Jemaah hanya daftar tanpa deposit dan tanpa ikatan. Agensi pelancongan hanya dapat ‘data base’ sahaja.
“Tidak boleh hendak tempah penerbangan dan hotel sebab tidak tahu bila kerajaan akan buka sempadan. InsyaAllah kami telah bersedia (untuk membawa jemaah umrah ke Tanah Suci),” katanya.