fbpx

KL City tumbangkan Tok Gajah di Cheras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MORALES (kanan) berjaya meledak dua gol buat KL City untuk menewaskan Sri Pahang pada aksi pertama Piala Malaysia di Cheras sebentar tadi. - Foto ihsan MFL

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City FC membuka kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-1 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Pemain tengah menyerang KL City, Romel Morales muncul wira buat skuad bimbingan Bojan Hodak itu apabila meledak dua gol dalam perlawanan tersebut.

Tonggak import dari Colombia itu berjaya merampas bola daripada kesilapan bek tengah Tok Gajah, Herold Mark Goulon dan bermain hantaran satu dua dengan Safee Sali untuk meledak gol pertamanya pada minit ke-47.

Tidak lama kemudian, Morales membuktikan ketajamannya apabila berjaya meloloskan diri daripada perangkap ofsaid Sri Pahang untuk menolak masuk sepakan percuma Paulo Josue pada minit ke-72.

Satu lagi gol The City Boys diperoleh menerusi tandukan Daniel Ting pada babak pertama hasil sepakan penjuru daripada Safee yang bertindak selaku kapten pasukan dalam perlawanan itu.

Dalam masa sama, pujian juga harus diberikan kepada penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza yang berjaya menafikan banyak percubaan berbahaya dilancarkan skuad kendalian Dollah Salleh sepanjang separuh masa kedua.

Malangnya, penjaga gol berdarah kacukan Filipina-Denmark itu gagal memastikan gawang KL City tidak dibocori apabila Giancarlo Gallifuoco menjaringkan gol sendiri selepas tertampan masuk hantaran pemain Sri Pahang pada minit ke-79.

Sebagai rekod, kemenangan itu membolehkan KL City meneruskan rekod cemerlang mereka yang masih belum tewas di laman sendiri sepanjang saingan musim ini termasuk 11 perlawanan Liga Super 2021.

Kali terakhir KL City tewas di Cheras ketika kalah 0-2 kepada Kuching City FC sewaktu perlawanan terakhir Liga Premier tahun lalu.

Selepas ini, KL City akan bertandang ke Stadium Bandaraya pada Rabu ini untuk meneruskan aksi kedua Piala Malaysia menentang Penang FC yang tewas mengejut 1-3 kepada Sarawak United sebentar tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI