LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane akan menjadi ancaman utama kepada pasukannya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Emirates malam ini.
The Gunners dilihat mula mendapatkan rentak kemenangan apabila tidak tewas dalam tiga perlawanan terdahulu, sekali gus bakal menjadikan pertemuan pada malam ini lebih menarik.
Kemenangan ke atas Norwich City, Burnley dan Wimbledon pastinya menyuntik semangat pemain-pemain Arsenal bagi menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan derbi Utara London itu.
“Saya perlu ingatkan pemain-pemain pertahanan mengenai kemampuan yang dimiliki Spurs menjelang perlawanan itu nanti. Kami tidak boleh benarkan dia (Kane) bergerak bebas kerana dia adalah ancaman terbesar buat kami.
“Bagaimanapun, keyakinan kami sudah bertambah baik sejak melakar tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini. Selain itu, kami juga beraksi di laman sendiri dan akan beri kelebihan kepada Arsenal,” kata Arteta.
Pengendali dari Sepanyol itu juga faham betapa pentingnya perlawanan tersebut kepada penyokong Arsenal memandangkan kedua-dua pasukan dianggap sebagai musuh tradisi dalam saingan Liga Perdana.
“Semua pemain tahu perlawanan ini sangat penting kepada penyokong kerana permusuhan antara kedua-dua pasukan ada sejarah yang tersendiri. Perlawanan ini akan melibatkan emosi antara kedua-dua belah pihak,” ujarnya. – AGENSI