KUANTAN – Kesesakan yang berlaku dalam program suntikan vaksin secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Dewan Jubli Perak Kuantan hari ini menimbulkan keresahan orang ramai.
Malah kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial ketika beratur panjang mencetuskan kebimbangan berlaku penularan wabak Covid-19.
Orang ramai yang mula datang ke PPV berkenaan pada pukul 7 pagi terpaksa beratur panjang di luar dewan sebelum dibenarkan memasuki kawasan dewan secara berperingkat mulai pukul 9 pagi.
Seorang penjaga, Zamzurina Ahmad,39, berkata, dia yang tiba bersama anaknya pada pukul 8.30 pagi hanya dapat menyelesaikan suntikan vaksin anaknya kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Saya terkejut apabila sebaik sahaja sampai orang sudah begitu ramai beratur di luar dewan dan prosedur operasi standard (SOP) yang kita amalkan selama ini macam sia-sia.
“Dalam sekelip mata terpaksa berkumpul beramai-ramai dan hampir satu jam berbaris di tengah panas baru dapat duduk di dalam khemah di kawasan dewan,”katanya di sini, hari ini.
Hari ini program vaksinasi secara ‘walk-in’ di PPV Integrasi Dewan Jubli Perak Kuantan dibuka kepada pelajar tingkatan 1 hingga 3 yang menetap di Kuantan tetapi bersekolah di luar Kuantan atau luar negeri Pahang bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.
Menurut Zamzurina walaupun bimbang dengan penularan wabak Covid-19 tetapi dia hanya mampu bertawakal dengan memakai pelitup muka dan menyembur sanitasi yang dibawanya dari rumah sebagai langkah pencegahan.
Justeru beliau berharap pihak berkaitan lebih praktikal dalam melaksanakan program seperti ini bagi memutuskan rantaian Covid-19 dengan memastikan segala SOP dilaksanakan.
“Kita rakyat marhain ini bukan hanya tahu kritik dan cari salah tetapi kita juga sama-sama hadap dan terkesan, lihat juga kami yang berbaris di luar dewan menunggu giliran di bawah terik matahari,”katanya.
Sementara itu seorang penjaga dikenali sebagai Amirul berkata, dia terpaksa meletak kereta di kawasan yang jauh dan berjalan kaki sebelum berbaris di bawah panas terik matahari bersama anaknya.
Beliau berkata sepatutnya pihak terbabit perlu melakukan kawalan dan program suntikan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan kehadiran terlalu ramai. -K! ONLINE.