KOTA TINGGI – Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang di sini merayu supaya kerajaan membantu mereka untuk bangkit selepas menanggung kerugian besar akibat chalet yang diusahakan sunyi sepi tanpa kehadiran pengunjung sejak setahun lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang, Abu Bakar Mohamad berkata, Nelayan Beach Resort yang terletak di Kampung Baru, Teluk Ramunia langsung tidak memberi pulangan hasil sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Katanya, sebelum ini, chalet yang mempunyai 24 buah bilik itu mampu memberi pendapatan RM12,000 sebulan kepada PNK Pengerang.
“Dahulu chalet ditempah oleh mereka yang melakukan aktiviti perkhemahan dan perkelahan, namun kini ia sunyi sepi. Sebelum buat chalet, kami menjual petrol, namun ia tidak seuntung dahulu sebelum beralih kepada pelancongan.
“Petrol tak laku kerana operasi bot yang dahulunya sebanyak 43 buah kini semakin berkurangan, manakala nelayan pula sudah tua dan tidak larat untuk ke laut. Sebelum ini tiga tangki petrol boleh habis dalam tempoh sebulan tetapi sekarang tiga bulan baru habis dijual,” katanya.
Tambahnya, selain petrol dan peralatan pukat serta jaring, PNK Pengerang terus bernafas melalui tempahan chalet tersebut.
Bagaimanapun, menurut Abu Bakar, mereka kini runsing apabila terpaksa menanggung kerugian besar serta dalam masa sama masih perlu mengeluarkan kos bulanan bagi membayar gaji pekerja dan kos-kos lain.
“Situasi ini bukan sahaja berlaku kepada PNK Pengerang. Boleh dikatakan seluruh Malaysia berdepan keadaan ini kerana kami tidak boleh terima pengunjung,” katanya.
Ujar Abu Bakar, mereka berharap Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara akan dapat membantu melonjakkan kembali ekonomi mereka.
“Kami juga berharap sekiranya pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dapat memberikan sedikit suntikan dana buat persatuan dalam pada kami untuk bangkit semula dari situasi ini,” katanya lagi.