HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas dan dirempuh dua buah kenderaan di Kilometer 418 Lebuh Raya Utara Selatan malam semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam melibatkan empat buah kenderaan.
“Kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang seorang lelaki berusia 20-an terbabas sebelum terjatuh di tengah jalan.
“Sebuah lori yang tidak sempat mengelak telah melanggar motosikal mangsa menyebabkan kedua-dua kenderaan telah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Proton Iswara tidak sempat mengelak dan telah melanggar mangsa di atas jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kubu Bharu untuk bedah siasat serta pengecaman identiti.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan kepada pihak polis supaya tindakan selanjutnya boleh diambil,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. – K! ONLINE.