PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal yang melanggar warga emas ketika melintas dipercayai berlaku di Plaza Tol Cheras baru-baru ini mengundang rasa marah dalam kalangan orang ramai.
Menerusi perkongsian video oleh Ahmad Iwan Affie di laman sosial Facebook, kelihatan seorang lelaki warga emas yang sedang melintas tetapi dilanggar oleh motosikal yang tidak mengikut laluan motor yang disediakan.
Berdasarkan video berdurasi 1 minit itu, mangsa dilihat berlari dengan panik setelah di ‘hon’ oleh penunggang tersebut sebelum berlaku rempuhan.
Kejadian itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan dihujani komen-komen kecaman di media sosial Facebook.
Salah seorang pengguna @Majid Taib berkata, tindakan penunggang tersebut yang tidak mengunakan lorong laluan motosikal yang disediakan boleh membahayakan nyawa orang lain.
“Kenapa penunggang motor itu tak guna laluan yang dah disediakan oleh pihak tol, tak pasal-pasal berlanggar dengan orang lain.
“Kesian dekat pak cik yang lalu itu, mungkin sebab dia panik cepat-cepat lari ke seberang, nasib baik tak meninggal dunia,” jelasnya.
Sementara itu, @Anas Siddiqi berkata, sepatutnya penunggang-penunggang motosikal tidak dibenarkan melalui laluan yang sama dengan kereta.
“Sepatutnya penunggang motosikal harus menggunakan laluan yang dah disediakan khas oleh pihak tol, kerana laluan kereta kadang-kadang pemandu akan keluar untuk berlari ‘top up’ kad Touch n Go sekiranya tak cukup baki,” ujarnya. – K! ONLINE.