fbpx

Lagu Sifar ungguli IMFP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kombinasi tiga artis yang menghasilkan lagu Sifar sehingga berjaya memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.

PETALING JAYA – Lagu Sifar hasil garapan komposer, penulis lirik dan penyanyi Asfan Shah, Lady D, Tripdisz serta Kmy Kmo yang memenangi anugerah di International Media Festival for Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada pada malam Rabu lalu dilihat berjaya men­yampaikan wawasan Vision Zero secara berkesan.

Konsep Vision Zero adalah transformasi terhadap aspek pencegahan menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan yang diper­kenalkan oleh Persatuan Ke­selamatan Sosial Antarabangsa (ISSA),yang dianggotai PERKESO, bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja dan penyakit akibat pekerjaan.

MOHAMMED AZMAN

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kemenangan ini adalah satu hadiah bukan hanya kepada PERKESO atau artis yang terlibat dalam penerbitan lagu tersebut tetapi juga kepada seluruh rakyat.

“Ini adalah satu pengiktirafan kepada hasil kerja PERKESO me­lalui pelbagai cara selama ini untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran rakyat terhadap pentingnya jaringan keselamatan sosial untuk melindungi mereka dan keluarga tersayang,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam.

Selain itu, Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO, Dr. Azlan Darus berkata, kejayaan lagu tersebut yang menjuarai kategori Music is Key pada festival ber­kenaan, yang dianjurkan bersempena Kongres Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dunia XXII merupakan satu momen membanggakan buat negara.

“IMFP mengiktiraf media yang digunakan organisasi-organisasi dari seluruh dunia bagi mempromosikan keselamatan dan pencegahan kemalangan di tempat kera.

“Lagu Sifar telah berjaya menawan hati juri dengan cara penyampaian unik dengan memasukkan elemen tempatan, manakala lirik lagu tersebut ditujukan tepat kepada kumpulan yang paling berisiko iaitu golongan muda.

“Kami di PERKESO sentiasa mencari pelbagai cara untuk menjangkau lebih ramai orang untuk menyampaikan mesej ke­selamatan pekerjaan termasuklah menerusi penerbitan lagu, filem, siri televisyen dan pelbagai medium lain,” jelas beliau.

AZLAN

Lagu Sifar terbitan PERKESO dilancarkan pada November 2019 dan ia turut digunakan sebagai runut bunyi (OST) bagi filem Warkah juga terbitan PERKESO.

Sementara itu komposer, Asfan Shah berkata, penghasilan lagu Sifar memberi cabaran tersendiri buat dirinya dan rakan-rakan memandangkan terdapat limitasi jelas iaitu dari segi tajuk dan mesej spesifik yang ingin disampaikan kepada pendengar.

“Kebiasaannya penciptaan karya dilakukan secara bebas tanpa sebarang kekangan, namun, kali ini kami diberikan tajuk yang spesifik dan dirasakan agak berat berbanding ke­biasaan, misalnya soal cinta.

“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sumbangan penting setiap daripada kami. Kumpulan ini memiliki chemistry yang baik dan saya berharap dapat bekerjasama sekali lagi pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI