HULU TERENGGANU – Kit ujian pantas Antigen Covid-19 yang kini berharga Rm19.90 akan mengalami penurunan harga lagi menjelang pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif memastikan kit ujian pantas itu lebih murah agar tidak membebankan ibu bapa bagi keperluan anak masing-masing.
“Walaupun harganya kini RM19.90 namun ia mungkin masih mahal dan membebankan terutama keluarga yang memiliki anak ramai.
“Sehubungan itu, kita mahu kit ujian pantas Antigen Covid-19 itu dijual pada harga mampu dimiliki semua lapisan masyarakat,” katanya di sini hari ini.
Rosol berkata, hasil perbincangan dengan pemain industri termasuk pengusaha farmasi mendapati mereka rata-ratanya akur dengan cadangan untuk menurunkan lagi harga kot ujian pantas Antigen Covid-19 tersebut.
Tambah beliau, selain harga lebih murah, penjualannya juga akan diperluaskan selain farmasi dan klinik sesuai dengan fungsinya sebagai norma baharu menyokong proses pemulihan negara.
“Keutamaan kini ialah memastikan semua murid dan pelajar yang akan menjalani sesi persekolahan secara bersemuka dapat menggunakan kit ujian pantas itu.
” Ia penting bagi memastikan mereka bebas daripada wabak Covid-19 sebelum ke sekolah,” katanya. – K! ONLINE.