TEMERLOH – Seorang kelindan lori maut selepas lori dinaikinya terbabas dan terbalik di Kilometer 96.5 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu menyaksikan mangsa, Muhammad Alif Roslan,23, tersepit di dalam lori berkenaan.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusof berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian lori yang dipandu rakan mangsa telah hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik.
“Akibat kejadian mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori mengalami kecederaan,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Azhar mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.
“Kita menasihatkan kepada semua pungguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dalam keadaan musim hujan dan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan,”katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Karak, Suhairul Ibrahim berkata, bomba yang bergegas ke tempat kejadian mendapati seorang lelaki tersepit di tempat duduk penumpang dan tidak sedarkan diri.
Ujarnya bomba menggunakan pemotong besi khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis. – K! ONLINE.