SETIAP kali tiba musim ikan senangin antara bulan April hingga tengkujuh, Sungai Kuantan di Pahang pasti menjadi tumpuan kaki pancing yang mahu memburu spesies itu.
Beberapa lokasi memancing popular di sekitar sungai terbabit antaranya di Esplenade Benteng, Esplanade Tanjung Api dan di bawah Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan dipenuhi pemancing.
Selain itu, puluhan bot gentian kaca juga dapat dilihat berlabuh di sepanjang sungai berkenaan bermula di muara sungai hingga ke Jambatan Tanjung Lumpur, tidak ubah seperti pesta memancing terutama awal musim.
Pada musim ikan senangin juga perkhidmatan bot sewa mendapat permintaan tinggi sehingga pemancing terpaksa menempah awal.
Kebiasaannya untuk memburu ikan senangin, pemancing menggunakan umpan udang hidup atau udang mati selain teknik casting dan jigging bagi yang memancing di atas bot.
Bagi pemancing tegar, Mohammad Affizie Baharuddin, 31, dia tidak akan melepaskan peluang keluar memburu senangin bersama rakan-rakannya setiap kali tiba musim ikan berkenaan.
“Saya dan kawan-kawan banyak menggunakan teknik jigging dan bot pula dibiarkan hanyut untuk mencari spot ikan senangin berkumpul,” katanya yang tinggal di Kampung Peramu.
Berkongsi mengenai teknik jigging senangin, Mohammad Affizie berkata, lazimnya dia hanya menggunakan jig bersaiz 15 gram (gm) hingga 20gm dengan jenis assist hook saiz antara 12 hingga 14.
“Assist hook yang mempunyai bulu yang berkilat lebih cepat untuk menjerat senangin sementara warna jig pula bergantung kepada keadaan air, namun warna yang paling popular adalah perak, merah jambu dan hijau fluorescent.
“Waktu terbaik untuk memburu senangin pula adalah ketika air mula pasang kecil, namun pada kemuncak musim senangin boleh dikatakan ikan frenzy setiap masa,”katanya.
Seorang lagi pemancing, Mohd. Alias Abdul Shukor, 31, pula berkata, dia mula berminat memancing senangin sejak beberapa tahun lalu bermula dengan memancing di tebing sebelum membeli bot sendiri.
Katanya, memancing senangin memberi kepuasan kepada kaki pancing apabila melayan tarikan ikan itu selain rasa keenakannya apabila dijadikan juadah bersama keluarga di rumah.
Bagi penyedia perkhidmatan sewaan bot gentian kaca di jeti nelayan Kampung Peramu, Mohd. Faizal Hassan, 32, berkata, kehadiran musim senangin turut memberi rezeki buat pengusaha bot sewa sepertinya.
“Setiap tahun apabila tiba musim senangin, permintaan bot sewa di sekitar sungai Kuantan akan meningkat mendadak dan tempahan diterima hampir setiap hari.
“Disebabkan itu, pelanggan perlu menempah awal, malah ada yang sanggup menempah seminggu lebih awal supaya tidak terlepas peluang,” katanya yang mula beroperasi lebih setahun lalu.
Katanya, setakat ini dia mempunyai tiga bot gentian kaca untuk memancing di sungai iaitu dua bot bersaiz 14 kaki (4.2 meter) dan sebuah bot bersaiz 17 kaki (5.1 meter) selain turut mempunyai sebuah bot untuk memancing di laut.
“Bagi sewaan bot memancing di sungai, bayaran dikenakan adalah RM100 ringgit untuk bot bersaiz 14 kaki (sesuai untuk tiga pemancing), manakala bot 17 kaki pula RM150 (empat pemancing).
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat serta melihat gambar hasil pancingan pelanggannya sebelum ini di Facebook Sewa Bot Kuantan.