PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diarahkan mengambil intervensi bersesuaian terhadap keluarga dan bayi yang dipercayai didera oleh pengasuh dalam kejadian di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, Perak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, beliau telah mengarahkan kementeriannya mengambil tindakan tersebut bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan bayi serta keluarganya terpelihara.
Menurutnya, beliau amat kesal dengan situasi yang berlaku tersebut dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya.
“Saya mengambil maklum penahanan seorang pengasuh wanita dituduh atas cubaan membunuh bayi berusia tujuh bulan dengan menghempas kepalanya sehingga tidak sedarkan diri.
“Kes penganiayaan terhadap bayi sering kali menjadi isu hangat di dada akhbar dan jenayah ini wajar diberi tumpuan oleh pihak penyiasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar si pelaku atau yang dituduh dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera bersandarkan pembuktian diperolehi oleh PDRM,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, insiden seperti ini boleh menjejaskan sedikit sebanyak kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke rumah pengasuh mahu pun pusat penjagaan harian, lebih-lebih lagi dalam keadaan sektor-sektor pekerjaan sudah mula dibuka secara berfasa.
“Ditambah pula dengan kebenaran pengoperasian semula pusat-pusat penjagaan harian kanak-kanak dan taska. Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga.
“Insiden ini juga boleh memberi impak buruk terhadap pengasuh-pengasuh lain yang selama ini sentiasa memberi perhatian baik terhadap aspek pengasuhan serta kebajikan bayi,” katanya. – K! ONLINE.